Pada 28 Januari 2023 (Sabtu) yang lalu, mahasiswa Kursus Falak Gunaan (CIC1012), Universiti Sains Islam Malaysia dengan jayanya telah menganjurkan Kem Falak Remaja yang bertempat di Surau Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi. Program ini dianjurkan dengan kerjasama AJK Surau Taman Seroja. Tujuan program ini dijalankan adalah untuk berkongsi ilmu dan kemahiran ilmu falak khususnya kemahiran penentuan arah kiblat bersama remaja selain daripada menjalinkan hubungan yang mesra bersama komuniti surau, remaja dan USIM melalui ilmu falak.

Program ini juga turut mendapat sokongan daripada Jabatan MUfti Negeri Selangor yang telah membuat pameran falak dan cerapan matahari sepanjang program berlangsung. Program ini disertai oleh 100 orang pelajar SMK Bandar Baru Salak Tinggi dan juga ahli kariah Surau Taman Seroja. Terdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan antaranya pengenalan kepada ilmu falak,simulasi menggunakan tongkat istiwa dan aplikasi quizziz berkait dengan ilmu falak. Para peserta dilihat melaksanakan aktiviti dengan penuh semangat.

Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak PPKI USIM kerana telah memberi peluang kepada mahasiswa Falak Gunaan untuk menganjurkan program tersebut bersama komuniti setempat. Semoga program sebegini akan diteruskan untuk manfaat yang akan datang.