Baru-baru ini telah berlangsungnya program kepimpinan yang dianjurkan oleh para pelajar tahun satu dari kursus Transformasi Kepimpinan Mahasiswa Muda (CLA1022) dibawah jurulatih Dr Mohd Faridh Hafez Bin Mhd Omar bertempat di Kolej Genius Insan USIM. Program kepimpinan ini telah melibatkan seramai 80 orang pelajar dari Asas 3 Kolej Genius Insan. Antara objektif utama program ini dilaksanakan ialah untuk mengasah bakat kepimpinan dalam diri pelajar serta mendidik pelajar untuk menanam sifat kepimpinan yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin pada akan datang. Selain itu, objektif program kepimpinan ini adalah untuk membina keyakinan dalam diri pelajar khususnya apabila bercakap di khalayak ramai, menjadikan pelajar yang mampu bekerja di dalam satu organisasi atau secara berkumpulan serta dapat menjadikan pelajar sebagai seorang ketua atau pemimpin yang bertangunggjawab dan berkaliber dalam sebuah organisasi.

Program kepimpinan ini telah dibahagikan kepada dua slot dimana slot pertama adalah aktiviti sesi berkenalan iaitu ice breaking yang dilakukan secara berkumpulan. Slot pertama ini telah dikendalikan oleh fasilitator yang telah ditetapkan antaranya Nur Akmal Zahiah Binti Mohd Fazlal. Dalam slot pertama ini, para pelajar akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan perlu menyediakan nama kumpulan berserta tema sorakan kumpulan masing-masing dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Setelah selesai dengan aktiviti kumpulan di slot yang pertama, program ini diteruskan lagi dengan slot yang kedua iaitu explorace dimana terdapat empat permainan yang menarik iaitu tangkap belon air, X O X, si buta dan bina-bina. Setiap permainan tersebut telah diketuai oleh beberapa orang fasilitator. Setiap kumpulan perlu memperdengar tema sorakan kumpulan mereka kepada fasilitator yang menjaga checkpoint permainan untuk menunjukkan semangat berpasukan dalam kumpulan mereka.

Seterusnya para pelajar perlu melantik seorang ketua dalam kumpulan mereka untuk mengetuai setiap permainan yang dijalankan. Oleh hal yang demikian, kita dapat menilai ciri-ciri pemimpin yang mereka pilih sebagai ketua kumpulan mereka dimana kebanyakan mereka memilih ketua kumpulan yang mempunyai suara yang lantang untuk memberi arahan kepada ahli kumpulan serta ketua yang mereka percaya untuk mengetuai kumpulan. Justeru itu, kita dapat menerangkan kepada para pelajar berkenaan nilai kepimpinan yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin demi kemajuan generasi pada masa akan datang.

Kepimpinan belia untuk masa depan sangat penting untuk dipupuk dalam diri seseorang di usia muda lagi agar masa depan generasi pada masa akan datang terjamin dari tipu helah pemimpin yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab. Sebagai mana yang kita ketahui, antara ciri kepimpinan yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin ialah amanah, bertanggungjawab, adil, berani dalam membuat keputusan dan dapat menjadi pemikir dalam sesuatu perkara dengan tepat dan bernas. Ciri-ciri ini kita dapat terapkan kepada para pelajar yang terlibat dalam program kepimpinan supaya mereka dapat mempraktikkan dalam kehidupan seharian mereka.Berdasarkan program kepimpinan yang telah dilaksanakan di Kolej Genius Insan, pihak penganjur telah mendapatkan maklum balas daripada beberapa orang pelajar yang terlibat dalam program ini.

1) Apakah pandangan para pelajar terhadap program kepimpinan ini?

-Menurut salah seorang pelajar tersebut, beliau berkata program ini sangat memberi impak yang positif kepada diri mereka yang memegang jawatan besar di Kolej Genius Insan dimana mereka dapat mengasah lagi bakat kepimpinan yang ada dalam diri mereka dalam menjalankan amanah yang diberi.

2) Adakah objektif program ini tercapai atau sebaliknya?

Maklum balas menurut rakan sebelahnya ialah beliau berpendapat bahawa objektif program ini tercapai kerana mereka semua mampu bekerjasama antara ahli kumpulan serta dapat memilih ketua kumpulan yang terbaik. Dalam masa yang sama, beliau bersyukur program ini telah dilaksanakan kerana program ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli kumpulan serta dapat berkomunikasi dengan baik antara mereka.

Program ini dapat melahirkan pelajar yang mempunyai jiwa kepimpian yang tinggi dalam diri masing-masing.  Oleh itu, kepimpinan perlulah diasah sejak kecil lagi tidak kira jantina dan peringkat umur agar kelak negara dapat melahirkan lebih ramai pemimpin yang terbaik pada masa akan datang. Dengan adanya pemimpin yang berkepimpinan, negara dan rakyat akan berada didalam keadaan yang sejahtera, aman dan harmoni.