Nilai- Kursus Tenis semester satu 2022/2023 telah menganjurkan program Jom Pergi Tennis Klinik di Pusat Sukan USIM pada 14 Januari 2023 untuk anak-anak staf dan pelajar sekolah rendah dari sekolah kebangsaan sekitar Bandar Baru Nilai.

Matlamat program ini adalah untuk mengajar peserta asas tenis di samping menggalakkan semangat kesukanan. Sekolah Kebangsaan Bandar Enstek, Sekolah Kebangsaan Batang Benar, Sekolah Kebangsaan Dato Ahmad Manaf, Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA, dan Sekolah Kebangsaan Teluk Berembang Lubok Cina adalah antara sekolah yang terlibat dalam program klinik tenis ini.

Menurut pengarah program, Abdullah Wafiy Bin Baharul Azman, program ini merupakan projek akhir bagi memenuhi jam kredit mata pelajaran kokurikulum dan juga bertujuan menarik ramai pelajar USIM untuk menyertai dan secara teori dan praktikal menguasai kemahiran asas bermain tenis.

Nurul Fatihin Binti Ahmad Rumzi, pelajar tahun tiga, percaya “Program ini dapat membantu pelajar kerana tenis bukan sahaja baik untuk kesihatan kita tetapi juga meningkatkan prestasi. Tenis memerlukan ketangkasan, disiplin, dan badan yang fleksibel hasil daripada latihan yang mencukupi. Pelajar yang menyertai program ini dapat meningkatkan kebolehan dan kemahiran dalam sukan tenis di samping dapat memupuk minat terhadap sukan tersebut,” jelasnya.

Jurulatih Kokurikulum Tenis USIM, Rozana Mohd Mahfudz menyatakan “Program Let’s Go Tennis Clinic” dapat meluaskan minda pelajar dan mencetuskan minat mereka terhadap sukan tenis. Program ini juga dapat menggalakkan semangat kesukanan pelajar dan menggalakkan pelajar mengamalkan gaya hidup sihat”.

Oleh: Izzat Saaban, Harith Danial, Ammar Osmera