NILAI, 10 Julai 2021 – Seni kaligrafi Islam merupakan salah satu warisan Islam yang semakin dilupakan sejak berzaman. Selagi ia masih wujud dan tidak ditelan zaman, usaha-usaha untuk mengangkat martabat seni kaligrafi khat akan terus diperkasakan. Justeru, Kursus Seni Khat Arab (CCA1012) dari Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melakukan satu bentuk usaha untuk memartabatkan semula Seni Khat Arab yang berbentuk tugasan projek akhir secara dalam talian. Seramai 39 mahasiswa dan mahasiswi, termasuk seorang jurulatih kursus iaitu, Mohd Zaki bin Ahmad turut terlibat dalam menjayakan usaha murni ini. Program ini diberi nama, PROGRAM PELAKSANAAN PEMBIKINAN VIDEO: VARIASI KALIGRAFI ARAB DAN LEMBARAN SEJARAHNYA

Antara objektif usaha ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memberi pencerahan dengan lebih mendalam mengenai variasi kaligrafi Arab dan juga sebagai salah satu cara untuk mengetahui sejarah perkembangan warisan tamadun Islam. Selain daripada menyampaikan mesej melalui penyampaian video kepada masyarakat, khusus buat mahasiswa dan mahasiswi sendiri, usaha ini dapat melatih diri mereka untuk lebih fokus dan kreatif dalam menghasilkan video. Disamping itu juga, dapat membantu meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif di kalangan mahasiswa dan mahasiswi sejajar dengan nilai-nilai kemahiran insaniah yang digariskan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI).

Sebelum situasi pandemik Covid-19 ini melanda, tugasan projek akhir akan dilaksanakan secara bersemuka. Akan tetapi kaedah perlaksanaan tugasan tersebut ditukar bersesuaian dengan norma baharu. Setelah melalui beberapa perbincangan, kumpulan 1 CCA1012 telah bersepakat untuk menjayakan projek akhir dengan menghasilkan pembikinan video berkaitan dengan Variasi Kaligrafi Arab dan Lembaran Sejarahnya. Pada 10 pagi 21 Jun 2021, video tersebut telah dimuat naik melalaui platform ‘Youtube’ PPKI USIM untuk disiarkan kepada tontonan awam dan proses tersebut berjalan dengan lancarnya. Antara tajuk-tajuk yang menjadi perbincangan dan dibahaskan melalui video, antaranya ialah, PENGENALAN PROGRAM VARIASI KALIGRAFI ARAB DAN LEMBARAN SEJARAHNYA, PENGENALAN KHAT NASAKH, KEISTIMEWAAN KHAT FARISI, SEJARAH KHAT DIWANI, SEJARAH PERKEMBANGAN KHAT DIWANI JALI, PENGENALAN KHAT THULUTH, LATAR BELAKANG KHAT KUFI, LANGKAH-LANGKAH MENGEKALKAN KELESTARIAN KHAT.

Untuk memudahkan lagi pelancaran projek akhir ini, kami telah membentuk 8 kumpulan kecil yang mana setiap darinya terdiri daripada 5 orang peserta. Secara tidak langsung, tindakan ini dapat menerapkan kemahiran insaniah dalam diri para pelajar contohnya, berusaha untuk berkomunikasi dengan jelas, berkesan dan penuh keyakinan dengan ahli kumpulan agar dapat menggilap kemahiran komunikasi ke tahap yang lebih baik. Selain itu, dapat mengasah kebolehan untuk memimpin projek akhir kursus ini agar program yang dilaksanakan dapat diatur dan diuruskan mengikut strategi yang telah ditetapkan. Akhir sekali, peserta juga dapat mengenali antara satu sama lain, menghormati sikap dan kelakuan serta pendapat yang dikemukakan oleh setiap ahli kumpulan agar dapat mencapai matlamat yang sama.

Begitu juga bagi Muhammad Hilmi Husaini Bin Md Faizal, 20, yang memegang jawatan sebagai Pengarah program bagi Kursus Seni Khat Arab CCA1012 turut serta menyumbangkan tenaga dalam melancarkan video tugasan projek akhir ini. Dengan hasil kerjasama yang jitu daripada tenaga pengajar sehingga kepada ahli-ahli kursus yang lain akhirnya berjaya memudahkan dan melicinkan perjalanan program ini. Beliau berkata “Tulisan khat adalah khazanah seni Islam paling berharga. Oleh itu, generasi muda perlu membuka minda dan mempelajari ilmu seni khat ini untuk dibawa kepada generasi akan datang.”

Beliau juga menyatakan hasrat yang mana beliau ingin masyarakat atau komuniti umum menerima projek akhir ini dengan hati yang terbuka dan dapat mencapai objektif program terutamanya memberi kesedaran kepada masyarakat awam dan pencerahan lebih mendalam mengenai variasi kaligrafi Arab, dan juga sebagai salah satu cara untuk mengetahui sejarah perkembangan warisan tamadun Islam.

Dalam pada itu, sepanjang proses projek akhir ini berjalan, banyak pihak membantu kami terutamanya daripada AJK Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) iaitu merupakan peneraju dalam pelaksanaan Kursus Kokurikulum Berkredit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sejak hari pertama projek akhir ini berjalan, para pelajar juga bertungkus lumus dalam mengerah idea untuk menjayakan projek akhir ini. Hampir setiap minggu mereka berkongsi hasil kerja yang mereka telah buat. Tidak lupa juga sumbangan jurulatih kursus yang sentiasa mengingatkan para pelajar dan membantu dalam menghasilkan projek akhir ini. Tuntasnya, semoga program ini menjadi batu loncatan agar tulisan khat terus berkembang di kalangan warganet.