NILAI, 21 Januari 2023 – Kelab Hafiz Mujtama’i III (CTD2031), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) USIM telah berjaya melaksanakan program “Pertandingan Hafazan Al-Quran” yang bertempat di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM, Nilai, Negeri Sembilan. Seramai 10 orang pelajar bersama seorang jurulatih iaitu Dr. Zainora binti Daud berganding bahu bagi menjayakan program ini. Program ini dilaksanakan secara bersemuka dengan berpandukan prosedur-prosedur yang telah ditetapkan untuk melancarkan lagi perjalanan program.

Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Sains Islam Malaysia untuk mengelola pertandingan hafazan. Selain itu, program ini juga dapat membantu dalam meningkatkan penguasaan hafazan al-Quran dari aspek hukum tajwid, makhraj, fasahah, kelancaran dan alunan bacaan. Malahan program ini dapat membina hubungan yang baik antara mahasiswa USIM di bawah gagasan konsep ta’awun. Pertandingan ini mempunyai dua kategori iatiu kategori A dan kategori B. Kategori A merangkumi daripada juzuk 1 hingga juzuk 3.Kategori B merangkumi daripada juzuk 1 hingga juzuk 5. Penyertaan terbuka kepada mahasiswa dan mahasiswi kalangan huffaz. Program ini dimulai dengan pendaftaran, penentuan angka giliran bagi para peserta dari seluruh kategori dan sesi taklimat dari urusetia program berkaitan perjalanan program serta cara pemarkahan para hakim.

Akhirnya, bagi menutup tirai program, barisan AJK Kelab Hafiz Mujtama’i III dan para peserta bersama Dr Zainora binti Daud telah merasmikan program ini dengan memberi kata-kata nasihat sebagai Hamlatul Quran. Seterusnya, majlis penyampaian hadiah dan cenderahati kepada semua peserta yang terlibat dalam pertandingan ini sebagai tanda penghargaan dan tautan mahabbah kerana sudi bekerjasama dalam menjayakan program kali ini. Sesi fotografi turut dipotretkan brsama jurulatih, AJK Kelab Hafiz Mujtama’I III dan semua peserta sebagai tanda kenang- kenangan. Semoga program ini mampu melahirkan siswa dan siswi USIM yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi di samping dapat memupuk rasa kasih sayang dengan golongan huffaz Al-Quran.