Kira-kira 1.7 juta rakyat Malaysia berisiko menghadapi hipertensi, diabetes dan penyakit jantung seperti kolesterol dan darah tinggi. Hal ini menunjukkan bahawa, isu obesiti di Malaysia semakin membimbangkan. Antara faktor yang mencabar untuk kekal fokus dalam pengurusan berat badan dan penjagaan kesihatan adalah tabiat gaya hidup yang tidak sihat seperti tidak bersenam, pemakanan yang tak seimbang, kesibukan kerja, adaptasi kepada norma baru dan kesejahteraan mental. Berikutan hal tersebut, tidak ganjil sekiranya ramai yang memilih jalan pintas untuk kekal langsing dan kurus dengan mengamalkan produk pelangsingan badan agar kelihatan menawan di khalayak ramai. Bahan terlarang yang terkandung dalam kebanyakan produk tersebut dapat memberikan kesan negatif kepada pengguna kerana boleh membahayakan diri dan menjejaskan kesihatan. Menurut pakar kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Ahmad Fakhrullah menyatakan bahawa tiada cara mudah untuk menguruskan badan atau mengurangkan berat badan kecuali dengan menjaga pemakanan. Umum mengetahui bahawa buah-buahan dan sayur-sayuran adalah imej kepada makanan sihat.

Terdapat satu makanan yang boleh menjadi alternatif kepada makanan sihat, makanan tersebut adalah popping juice. Popping juice atau dikenali sebagai jus meletup adalah boba unik dengan perisa jus buah-buahan sebenar yang pecah di dalam mulut. Ia telah melalui sebuah proses yang dinamakan proses spherification (sferifikasi). Popping juice menjadi alternatif kepada makanan sihat kerana ia dapat menarik minat bukan sahaja kanak-kanak bahkan remaja terhadap makanan yang unik, sedap dan menyihatkan. Dalam dapatan pasca tinjauan aktiviti eksperimen popping juice di Taman Desa Kolej, Negeri Sembilan menunjukkan bahawa 80% daripada kanak-kanak yang menyertai sangat menggemari eksperimen popping juice ini. Di samping itu, 60% daripada mereka sangat bersemangat untuk melakukan aktiviti ini di rumah bersama keluarga tersayang. Penggunaannya dalam pemakanan sangat digalakkan bagi para peminat buah-buahan. Umum mengetahui bahawa buah mengandungi gizi, nutrisi dan vitamin yang baik bagi kesihatan. Popping juice menjadikan bentuk makanan lebih menarik bagi para penggemar buah-buahan. Ia juga dapat menarik minat para peminat minuman manis kerana ia boleh diletakkan di dalam minuman untuk menambah rasa, kelazatan dan kesegaran minuman tersebut. Trend minuman boba amat popular pada masa kini, akan tetapi kandungan gula di dalam boba sangat tinggi dan boleh mengancam kesihatan. Kajian menunjukkan bahawa kandungan gula dalam rata-rata minuman yang mengandungi boba memiliki kandungan gula antara 8 hingga 20 camca teh setiap satu.  Oleh itu, popping juice adalah antara bahan sihat yang boleh menggantikan boba kerana ia mengandungi kandungan natural daripada jus buah-buahan.

Kaedah menyediakan popping juice adalah tidak sukar, ia hanya menggunakan empat bahan ringkas. Antara bahan yang digunakan adalah sodium alginate, calcium lactate, jus buah atau air berperisa dan air mineral. Berdasarkan Material Safety Data Sheet (Lembaran Data Keselamatan Bahan) bahan kimia yang disebutkan iaitu sodium alginate dan calcium lactate adalah bahan yang selamat dan boleh dimakan. Ia tidak mengandungi racun mahupun toksik dan tidak dikelaskan sebagai bahan atau campuran berbahaya. Turutan langkah untuk membuat popping juice yang pertama adalah 0.5-gram sodium alginate dilarutkan dalam 100 mililiter jus buah atau air berperisa. Kemudian 5-gram calcium lactate dilarutkan didalam 500 mililiter air mineral. Setelah itu, larutan jus tersebut dimasukkan ke dalam larutan calcium lactate dengan menggunakan picagari dan picagari ditekan sehingga satu sfera terbentuk. Seterusnya, sfera yang telah terbentuk tadi dibilas di dalam air mineral. Dan popping juice siap dimakan. Mudah bukan?

Teksturnya yang lembut dan mudah pecah dapat memudahkan kanak-kanak untuk mencerna popping juice tersebut. Bertentangan dengan sifat popping juice, tekstur boba yang kenyal membuatkan kanak-kanak kesulitan saat mengunyah justeru mereka cenderung untuk terus menelannya sahaja. Keadaan ini akan menyulitkan proses pencernaan di dalam badan, sehingga berpotensi menyebabkan usus tersumbat di dalam badan kanak-kanak. Jadi, kanak-kanak seawal usia 5 tahun selamat untuk mengkonsumsi popping juice ini. Daripada sudut sains, proses spherification telah menyumbang kepada produk ini. Bagi orang awam istilah sebegini sangatlah asing dan tidak sering didengar. Akan tetapi, untuk pengetahuan pembaca, terdapat dua teknik untuk menghasilkan popping juice ini iaitu basic spherification dan reverse spherification.

Teknik Basic Spherification adalah proses dalam bidang gastronomi molekul. Teknik ini digunakan untuk menghasilkan jus buah berbentuk sfera kecil yang bersifat separuh pepejal. Jus buah ini akan terperangkap di dalam lapisan selaput (membrane) yang nipis, di mana ia akan pecah setelah dimasukkan ke dalam mulut. Sodium alginate akan ditambah dalam jus buah dan campuran larutan tersebut akan dititiskan ke dalam larutan calcium lactate. Reverse spherification juga merupakan teknik yang sama, akan tetapi calcium lactate dicampurkan dengan jus buah dan larutan tersebut akan dititiskan didalam larutan sodium alginate. Antara kelebihan menggunakan proses ini adalah, popping juice ini dapat disimpan dalam tempoh yang lebih lama berbanding dengan popping juice yang dihasilkan melalui proses basic spherification. Proses Reverse Spherification ini jugak sesuai untuk menghasilkan popping juice berasaskan susu dan yogurt kerana kandungan calcium lactate yang tidak akan memberi kesan kepada kandungan calcium yang wujud dalam cecair tersebut. Jadi, lebih banyak variasi dan perisa dapat dihasilkan dengan menggunakan proses reverse spherification. Terdapat beberapa syarat utama bagi penggunaan jus dalam produk ini kerana bukan semua jenis minuman sesuai untuk digunakan bagi proses ini. Antara jus yang boleh digunakan dalam proses ini ialah jus buah yang mempunyai nilai pH kurang dari 3.6 seperti jus tembikai dan jus manga bagi buah-buahan manakala bagi sayuran jus timun.

Para ibu bapa digalakkan untuk cuba menghasilkan popping juice sendiri. Hal ini kerana, ia adalah salah satu makanan yang dapat menarik minat anak-anak agar gemar kepada buahan dan sayuran agar gaya makanan hidup sihat dapat diimplementasikan. Aktiviti membuat popping juice bersama keluarga juga dapat merapatkan hubungan antara ahli keluarga di samping memupuk anak-anak agar suka kepada eksperimen berkaitan subjek sains. Selain itu, bahan-bahan untuk menghasilkan popping juice ini seperti sodium alginate dan calcium lactate boleh dibeli secara dalam talian. Tambahan pula, popping juice ini dapat dihasilkan dalam tempoh masa yang singkat kerana jeli sfera tersebut tidak perlu direndam terlalu lama di dalam larutan calcium lactate. Antara variasi yang dapat dilakukan adalah dengan kewujudan pelbagai warna kerana popping juice boleh dihasilkan daripada buah yang mempuntai warna berlainan. Seterusnya, setiap individu dapat menghasilkan dengan menggunakan buahan dan sayuran kegemaran masing-masing. Di sebalik banyak kelebihan yang dinyatakan, tidak dinafikan bahawa popping juice mempunyai kekurangan yang tersendiri, antaranya adalah ia perlu dimakan dengan segera disebabkan tidak boleh disimpan terlalu lama kerana mudah pecah. Dan variasi perisa yang terhad juga mungkin akan berlaku kerana umum mengetahui bahawa setiap buahan dan sayuran mempunyai pH yang tersendiri. Jus buahan dan sayuran yang mempunyai nilai pH rendah dari 3.5 tidak dapat menghasilkan bentuk jeli sfera yang sempurna.

Antara kekangan yang dapat dilihat adalah, jika masyarakat mahu membeli dan mendapatkan bekalan popping juice ini, tiada kedai atau syarikat yang mengeluarkannya secara khusus. Mengikut pemerhatian dan dapatan, popping juice belum lagi dijual secara meluas di pasaran. Hanya ada di segelintir kedai atau hanya ketika musim-musim keluaran tertentu popping juice akan dikeluarkan contohnya Tealive Popping Season, mungkin disebabkan kekangannya yang tersendiri. Oleh itu, digalakkan kepada orang awam untuk mengamalkan konsep Do It Yourself (DIY) Popping Juice di rumah. Akan tetapi, jika dikira dari sudut ekonomi, membuat popping juice di rumah adalah tidak praktikal kerana hanya dihasilkan dalam kuantiti yang kecil. Industri minuman dan makanan khusunya dinasihatkan agar turun padang untuk menghasilkan popping juice dalam skala yang besar serta menjalankan penyelidikan yang lebih mendalam bagi mendapatkan popping juice yang berkualiti. Penghasilan bentuk makanan dan minuman yang unik dapat menarik perhatian dan mengubah selera makan seseorang. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 168, Allah S.W.T. memerintah sekalian manusia agar makan makanan yang halal dan baik (thoyyib), yang bermanfaat bagi kesihatan serta kesejahteraan jasmani dan rohani. Ini kerana setiap ciptaan Allah s.w.t. termasuk buah-buahan, herba dan tumbuhan alami mengandungi banyak kebaikan. Tuntasnya, popping juice dapat menjadi alternatif kepada makanan sihat di masa akan datang bagi menjamin kesihatan yang baik kepada masyarakat.

Disediakan oleh:

Nurul Syazwani Binti Kizzon

Nur Sahira Adilah Binti Che Marzuki

Nurul Izzah Binti Zulkifli

(Pelajar Teknologi Kimia Industri, Tahun 4

Universiti Sains Islam Malaysia

Sesi Akademik 22/23)