PROGRAM GILAPAN KEMAHIRAN PENGUCAPAN AWAM KEPADA PELAJAR SEKOLAH RENDAH

Usaha dakwah merupakan satu bentuk tanggungjawab di atas bahu kesemua umat Islam. Untuk menyampaikan dakwah, seseorang perlu menguasai pelbagai cabang kemahiran dan ilmu, termasuklah kemahiran pengucapan awam. Bertitik tolak daripada kesedaran ini, maka seramai 30 orang mahasiswa daripada Kursus Public Speaking (CPB1022) Kumpulan 1, telah menganjurkan Program Gilapan Kemahiran Pengucapan Awam Kepada Pelajar Sekolah Rendah dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) USIM. Program dalam talian ini telah dilaksanakan dengan jayanya bermula pada 17 Mei hingga 28 Julai 2021 melalui plaltform Youtube Rasmi PPKI USIM.

Program ini dilaksanakan dengan bersandarkan kepada dua objektif utama. Pertama, untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang teknik dan kaedah yang betul dan sesuai berkaitan pengucapan awam. Kedua, meningkatkan keyakinan diri para pelajar dalam bidang pengucapan awam. Walaupun negara sedang dilanda pandemik Covid-19 yang membataskan perkumpulan dan pertemuan secara bersemuka, namun pelaksanaan program dapat disempurnakan dengan persediaan rapi oleh kesemua mahasiswa yang terlibat. Mahasiswa yang terlibat telah bersama-sama membangunkan modul Program Gilapan Kemahiran Pengucapan Awam Kepada Pelajar Sekolah Rendah melalui lima rakaman video dalam Bahasa Inggeris dan dimuat naik ke dalam paltform Youtube Rasmi PPKI USIM, sebagai salah satu tugasan berkumpulan yang dinilai dalam kursus ini. Antara pengisian modul video ini adalah, Public Speaking: Analyzing the Audience, Public Speaking: Informative Speech, Public speaking: Usage of Visual Aids, Public Speaking: Persuasive Speech dan Public Speaking: Speech for Special Occasions.

Mahasiswa yang terlibat telah mengambil inisiatif untuk menghubungi bekas guru, kaunselor dan pentadbir di sekolah-sekolah masing-masing untuk menguar-uarkan mengenai program ini. Kaunselor-kaunselor sekolah, guru dan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah sama ada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah telah dihubungi untuk mendapatkan kerjasama mengumpulkan penyertaan daripada pelajar atau pun anak-anak mereka. Sambutan daripada pelajar-pelajar ini didapati sangat menggalakkan. Ini terbukti apabila kesemua lima video yang dimuat naik melalui Program Gilapan Kemahiran Pengucapan Awam kepada Pelajar Sekolah Rendah telah berjaya menarik perhatian ribuan penonton atau ‘viewers’ yang turut meninggalkan komen-komen positif melalui platform Youtube PPKI USIM.