Nilai 28 APRIL 2019 – Program selama 11 jam ini telah dianjurkan oleh pelajar USIM seramai 29 orang daripada Kursus Seni Khat Arab (CCA1012),yang bertempat di Masjid Putra Nilai, Negeri Sembilan. Program Penghayatan Seni Warisan Islam ini merupakan salah satu program rasmi Kursus Seni Khat Arab (CCA1012) dibawah teras kebudayaan Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan
kerjasama Masjid Putra Nilai, bagi menyuburkan rasa cinta dan minat yang tinggi terhadap seni warisan khat dalam kalangan mahasiswa, masyarakat dan warga emas.

Objektif program ini diadakan adalah untuk mendekatkan lagi masyarakat khususnya warga emas tentang ilmu dan juga kemahiran asas khat arab. Program ini memberi tumpuan khusus kepada warga emas kerana kami ingin mereka mengimbau kembali saat tulisan jawi menjadi tulisan rasmi pada zaman dahulu. Sehubungan dengan itu, kami juga menunjukkan secara praktikal cara khat itu ditulis dengan kaedah yang betul. Dengan adanya program seperti ini, masyarakat dapat mempelajari kemahiran khat arab dan mempraktikkannya agar ia dapat diwarisi oleh generasi muda agar tidak lapuk dek zaman.

Seni kaligrafi Islam seringkali dikaitkan dengan seni khat. Kaligrafi secara umumnya mempunyai maksud seni penulisan yang indah. Apabila ianya dikaitkan dengan Islam, ia membawa kepada seni penulisan Islam yang indah iaitu tulisan khat. Seni ini dicipta dan dikembangkan oleh Ilmuan Islam sejak kedatangan Islam.

Program ini telah menarik minat ramai kelompok usia dari kanakkanak sehingga orang dewasa. Ini menunjukkan bahawa seni khat arab ini masih mampu menjadi tarikan masyarakat dalam mempelajari ilmunya yang unik ini. Ini kerana tulisan itu sendiri mempunyai roh yang tersendiri apabila ia ditulis oleh manusia sendiri. Kaligrafi Islam ini juga sangat berkaitan dengan Al-Quran dan hadis kerana sebahagian besar tulisan indah dalam bahasa Arab menampilkan ayat Al-Quran atau Hadith Nabi S.A.W. Program seperti ini perlu dijalankan setiap tahun bagi menguji kelebihan dan kemahiran mahasiswa dalam mengendalikan program yang memberi manfaat kepada masyarakat khususnya warga emas.