NILAI, 15 Jun 2022 – Kursus Hafiz Mujtama’i II, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) USIM telah berjaya melaksanakan program “Quranic Ventures” yang bertempat di Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Darul Ulum, Nilai, Negeri Sembilan.

Seramai 17 orang pelajar bersama seorang jurulatih Dr.Zainora Daud berganding bahu bagi menjayakan program ini. Bagi melancarkan perjalanan program yang lebih efektif di Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Darul Ulum, program ini dilaksanakan secara bersemuka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Program ini bertujuan memberi penekanan secara mendalam kepada aspek bacaan al-Quran secara bertajwid seperti bacaan dalam solat dan surah-surah lazim. Seterusnya bagi mengukuhkan lagi semangat berkumpulan serta membina hubungan yang baik antara fasilitator dan pelajar, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti aktiviti latihan dalam kumpulan serta aktiviti eksplorasi bersama-sama al-Quran. Program ini berkonsepkan pembelajaran al-Quran di samping mengeratkan hubungan silaturrahim antara mahasiswa USIM dan masyarakat luar khususnya golongan huffaz.

Program disemarakkan dengan penyiaran video yang berkonsepkan perkongsian ilmiah tentang Ibrah Bersama Pelajar. Antara intipati perkongsian yang terdapat dalam video adalah tentang pengajaran dan faedah hasil daripada aktiviti-aktiviti yang telah diadakan.

Sebagai menutup tirai program, Kelab Hafiz Mujtama’i II menyampaikan hadiah kepada pemenang dan cenderahati        kepada pihak Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Darul Ulum sebagai tanda penghargaan dan tautan mahabbah. Sekalung penghargaan dirakamkan juga kepada anak- anak didik, Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Darul Ulum, Nilai, Negeri Sembilan. Alhamdulillah, program ini mendapat respon yang sangat positif daripada pihak peserta. Malahan, program ini turut dimeriahkan dengan sesi fotografi sebagai tanda kenangan.

Semoga program ini mampu melahirkan para siswa dan siswi USIM yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi sebagai penghafal al-Quran.