NILAI, 20 April 2019 – Program Sentuhan Kasih telah diadakan dengan jayanya bertempat di Pusat Jagaan Kanak-kanak Cerdik Rayyan bertempat di Rasah Kemayan, Seremban. Program ini dianjurkan sepenuhnya oleh para pelajar Kursus Kokurikulum Seni Lukis Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), USIM.

Penghuni pusat jagaan ini merupakan kanak-kanak istimewa yang kebanyakannya ialah kanak-kanak autistik (autisme). Cabaran utama para pelajar adalah bagaimana untuk berkomunikasi dan menyantuni anak-kanak istimewa ini dalam mencapai objektif program.

Objektif utama program ini adalah untuk menarik minat kanak-kanak dan ibu bapa yang terlibat kepada seni lukis. Selain itu, program Program ini bagi menghibur dan menggembirakan hati kanak-kanak istimewa ini. Program seumpama ini mampu memberi kesedaran kepada masyarakat agar mengambil cakna perihal kanak-kanak istimewa ini. Program yang bermula pada jam 9.00 pagi ini dimulai dengan senamrobik dan persembahan badut. Seterusnya pertandingan futsal yang diadakan di gelanggang futsal berdekatan melibatkan ibu-bapa dan para pelajar. Pertandingan ini bertujuan untuk membina silaturahim dan kepercayaan ibu bapa kepada para pelajar yang akan melaksanakan program dengan anak-anak mereka.

Selepas pertandingan tersebut diadakan, aktiviti indoor pula dilaksanakan seperti melukis, mewarna, jigsaw puzzle dan pertandingan mengisi air dalam botol. Sebahagian dari pelajar memulakan aktiviti lukisan mural di dinding pusat jagaan tersebut.

Bagi menceriakan dan menghiburkan kanak-kanak dan ibubapa, program diteruskan lagi dengan persembahan teater dari para pelajar yang bertajuk “Pengembala dan biri-biri”. Setelah selesai semua aktiviti yang dirancangkan dan lukisan mural berjaya disiapkan, sekitar jam 3.30 petang, program diakhiri dengan ucapan dan penyampaian hadiah dari Pengarah Program. Seusai sahaja penyampaian hadiah tersebut, para ibu-bapa dan para pelajar menikmati jamuan minum petang dan bersurai.