15 Januari 2023, Ahad – Projek akhir Splash Your Flairanjuran Kursus Teater Kumpulan 1, Universiti Sains Islam Malaysia telah berlangsung dengan jayanya bertempat di SMI Al-Amin, Kuala Lumpur. Projek akhir ini melibatkan seramai 25 orang

pelajar tahun satu Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia dan disertai oleh 23 orang murid Sekolah Menengah Islam Al-Amin, Kuala Lumpur yang terdiri daripada murid menengah rendah iaitu murid tingkatan 1, tingkatan 2 dan tingkatan

3 serta dikawal selia oleh seorang guru penasihat kursus teater iaitu Puan Nur Azila binti Tukiman. Matlamat program ini adalah untuk memberi pendedahan awal mengenai teater kepada peserta sekaligus dapat mencungkil bakat terpendam dalam diri masing-masing.

Aktiviti dimulakan dengan sesi ice breaking di mana peserta akan dibahagikan kepada empat kumpulan dan akan berkenalan antara satu sama lain bersama beberapa orang fasilitator. Para peserta juga ditugaskan untuk mencipta sorakan kumpulan masing-masing bagi LDK 1 Aktiviti seterusnya, Explotheater. Aktiviti ini diinspirasikan daripada aktiviti explorace akan tetapi bertemakan teater dan dibahagikan kepada lima checkpoint.

Antaranya ialah checkpoint Sing With Me. di mana para peserta perlu melihat sebuah video dan dikehendaki melakonkan semula babak tersebut sambil menyanyikan satu dialog yang diambil dari video tersebut. Checkpoint yang kedua pula ialah Master Chef di mana para peserta perlu memasak apa-apa sahaja menu menggunakan bahan yang telah disediakan seperti roti. Tujuan aktiviti ini adalah untuk memahirkan kreativiti pelajar. Checkpoint yang ketiga ialah Fashion Show. Peserta hanya diberi masa sepuluh minit sahaja untuk menyiapkan pakaian mengikut tema berdasarkan bahan-bahan yang disediakan. Checkpoint yang keempat pula ialah Hello, Can You Hear Me? Dalam checkpoint ini, peserta perlu meniru gaya orang yang tuli, buta, bisu, cacat dengan yang paling sihat daripada filem terkenal. Orang yang cacat perlu menjaringkan bola dengan hanya menggunakan sebelah tangan sahaja selepas ahli kumpulannya berjaya meneka gaya dengan betul.

Checkpoint yang seterusnya ialah Water Splash di mana mereka diminta untuk membuat formasi tertentu untuk menangkap belon air dan menghantar belon air ke ahli kumpulan yang lain menggunakan kain batik. Checkpoint yang terakhir ialah Escape Room iaitu peserta perlu menyelesaikan misteri pembunuhan dan mencari kod tersembunyi untuk keluar daripada bilik tersebut. Aktiviti-aktiviti sebegini dapat memupuk semangat berpasukan dalam diri peserta seterusnya dapat memupuk daya kreativiti daripada para peserta.

Sesi bersambung pada sebelah petang dengan LDK 2 iaitu teater. Dengan menggunakan kumpulan yang sama seperti LDK 1, peserta perlu mempersembahkan sebuah lakonan yang berdurasi selama 5 minit dan dibimbing dengan fasilitator masing-masing. Di sini, fasilitator berperanan untuk membimbing peserta menggunakan teknik-teknik yang telah dipelajari dalam kursus teater seperti teknik aras lakonan, teknik lontaran vokal dan teknik gerak tubuh serta ekspresi wajah. Peserta diberikan masa selama 1 jam untuk berlatih. Juri bagi persembahan ini adalah tidak lain tidak bukan, Puan Nur Azila Tukiman selaku guru bimbingan kursus teater dan juga jemputan VIP iaitu Encik Muhammad Irfan Ariff Nor Azali Shukri selaku guru di SMI Al-Amin, Kuala Lumpur. Terdapat juga persembahan khas daripada para pelajar daripada kursus teater sendiri.

Sesi berakhir dengan majlis penyampaian hadiah dan saguhati kepada kumpulan- kumpulan yang berjaya mengumpul markah tertinggi hasil daripada aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan. Diharapkan para peserta menikmati program ini di samping mendapat satu ilmu baharu daripadanya