KAJANG, 2 MEI 2019 – Seramai 13 orang mahasiswa dan mahasiswi dari kursus Hafiz Mujtama’i 4, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan sebuah program Ziarah Mahabbah bersama warga emas di Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Kajang, Selangor. Program ini turut diiringi oleh Ustaz Mohamad Redha bin Mohamad, selaku jurulatih kursus. Ini merupakan sebuah projek dalam usaha melengkapkan tugasan akhir berkumpulan secara efektif dan intelektual, disamping dapat mentahsin bacaan Al-Quran yang mensasarkan golongan warga emas. Hal ini bertujuan melahirkan sikap tolong-menolong serta toleransi dalam diri mahasiswa dan mahasiswi terhadap golongan yang memerlukan seperti warga emas.

Selain itu, para peseta telah menyertai aktiviti berkumpulan yang melibatkan ahli jawatankuasa program sebanyak 2 slot. Slot pertama merupakan Dekatkan Hati Kita yang bertujuan untuk taa’ruf bersama warga emas yang mendapat sambutan yang baik daripada warga emas. Manakala, slot kedua merupakan Halaqah Syurga yang bertujuan untuk mendedahkan warga emas dengan asas hukum tajwid dan memperbetul bacaan al fatihah. Program ini telah berjaya menarik penyertaan lebih kurang 30 orang warga emas Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Kajang. Program ini tamat pada jam 4.00 petang dengan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan sebagai acara penutup.